373,459 permohonan kemasukan pekerja asing diluluskan

in Nasional by

Saifuddin Nasution (dua dari kiri) ketika sesi sidang akhbar selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Seramai 373,459 pekerja asing diluluskan untuk dibawa masuk ke negara ini melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) menerusi permohonan majikan yang bermula pada 1 Januari sehingga 4 Disember 2022.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, angka tersebut adalah daripada keseluruhan 403,869 permohonan yang diterima Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 373,459 manakala baki sebanyak 30,410 sedang diproses dan akan dipertimbang untuk kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja.

“Daripada jumlah yang diluluskan tersebut, hanya seramai 254,677 orang pekerja asing atau 68 peratus sahaja yang telah dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar menerusi lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini pada Jumaat.

Katanya, setakat ini angka mencatatkan kira-kira 1.4 juta pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di negara ini.

“Sehingga 30 November 2022, jumlah pekerja asing semasa yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah seramai 1,391,624.

“Pecahan jumlah ini mengikut sektor terlibat antaranya perkilangan (510,507), pembinaan (308,886), perladangan (160,728), perkhidmatan (208,425), pertanian (110,598), pembantu rumah asing (92,338) serta perlombongan dan pengkuarian (142),” katanya.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia merupakan salah satu elemen penting dalam menyumbang kepada nadi ekonomi negara.

“Jika dilihat kepada kadar kemasukan pekerja asing yang diluluskan tidak sama dengan kadar yang dibawa masuk, ini adalah kerana faktor keupayaan majikan dari segi kos dan sebagainya serta di negara sumber warga asing itu sendiri yang mana ada beberapa sistem yang perlu dipenuhi, itu adalah di luar keupayaan kita.

“Komitmen serta teras kita adalah untuk mempermudahkan, dan sekiranya ada elemen untuk penambahbaikan kita sedia untuk melaksanakannya,” katanya.