Agenda RUU 355 diteruskan: Mohd Na'im

in Nasional by

Mohd Na’im merasmikan Program Jualan Rakyat Penjawat Awam di Kompleks Islam Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Dasar berkaitan agama Islam yang dibuat dalam pentadbiran sebelum ini dan memberi manfaat kepada umat Islam akan dipertahankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, ia termasuk meneruskan agenda pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) sebagaimana dirangka sebelum ini.

Menurut beliau, dalam konteks itu (RUU 355), ia merupakan sebahagian daripada usaha ke arah tingkat kuasa dan memartabatkan mahkamah syariah.

“Inilah matlamat jadi manusia, berikan manfaat kepada Islam dan rakyat secara keseluruhan, jadi kita raikan.

“Bagaimanapun, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dalam kabinet. Ia memerlukan keputusan secara kolektif, bukan saya seorang,” katanya pada sidang media selepas Program Jualan Rakyat Penjawat Awam, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berkaitan RUU 355 sama ada dibentangkan dalam sesi Parlimen yang akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihati pemimpin-pemimpin agar kembali kepada agama dengan memperingati Allah serta mengelak diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengakibatkan perpecahan.

“Berpegang teguh dengan tali Allah. Kita orang Islam beriman kepada Allah dan al-Quran, sudah jelas tidak dibenarkan berpecah-belah hanya kerana berbeza pegangan politik.

“Jika kita benar beriman, kena pastikan Islam dimartabatkan,” ujarnya.

Mohd Na’im turut mengulas mengenai pertukaran jawatan pimpinan tertinggi di peringkat agensi bawah kementeriannya seperti di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Beliau berkata perkara itu masih lagi dalam pertimbangannya.

“Buat masa sekarang masih tertumpu kepada usaha untuk bertemu sultan dan raja-raja di setiap negeri, yang merupakan ketua agama di negeri-negeri, selain mendengar taklimat daripada ketua-ketua agensi di bawah jabatannya,” jelasnya.