Ahmad Maslan jelas dakwaan jawatan Presiden UMNO tidak ditandingi

in Politik by

AHMAD MASLAN

PONTIAN – UMNO menafikan terdapat perbincangan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Khamis juga tidak menyentuh perkara itu.

Justeru, beliau mengecam maklumat dalam bentuk infografik yang tular di media sosial mendakwa kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan ditandingi.

“Tiada sebarang perbincangan tentang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan ditandingi.

“Malah perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT malam tadi. Yang tular itu ‘mamat’ tepi jalan yang buat, jangan mudah percaya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Majlis Khatan Perdana di Masjid Kampung Jawa Ulu di sini pada Jumaat.

Menerusi infografik yang tular itu, memaklumkan UMNO dijangka meminda Perlembagaan bagi menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

Ia turut memaparkan kononnya pindaan Perlembagaan itu akan dilakukan pada perhimpunan khas selain Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika pindaan berjaya dilakukan.

Pada 5 Disember lalu, MKT UMNO bersetuju untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang dijadualkan berlangsung hujung Disember ini kepada awal tahun depan.

PAU 2022 yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari tahun hadapan kerana tarikh asal bertembung dengan cuti persekolahan.