Banjir: 14 mangsa dipindahkan ke PPS di Melor

in Edisi by

Seramai 14 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Melor di Kota Bharu. – Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seramai 14 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Melor di sini selepas hujan lebat sejak Khamis.

Info Bencana Banjir yang dikemas kini setakat jam 4.21 petang Jumaat merekodkan daripada jumlah berkenaan, sembilan kanak-kanak dan seorang bayi turut dipindahkan.

Sementara itu, paras air di Jambatan Melor, Bachok pada jam 5.30 petang ialah 8.69 meter (m) melebihi paras amaran (8 m).

Selain itu, paras air di Sungai Rantau Panjang Pasir Mas ketika direkodkan pada waktu sama setinggi 8.31 meter manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai kini telah melebihi tahap waspada iaitu 20.63 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan hujan sangat lebat dan bahaya berlaku di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh dua hari bermula Jumaat.