Chon Siang 'idam' portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan

in Edisi Pahang by

Chon Siang mengimbas jari pada alat perakam waktu di bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang tepat jam 8.30 pagi Jumaat.

KUANTAN – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang, Sim Chon Siang berharap mendapat portfolio yang lebih relevan bagi membolehkan beliau melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Menurutnya, portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan lebih sesuai memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perumahan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini agihan portfolio kepada 10 Exco Pahang yang dilantik masih belum diputuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kalau saya, saya lebih cenderung kepada (portfolio) Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jadi saya rasa itu yang paling sesuai untuk saya. Tapi, kita belum berbincang.

“Kalau kerajaan negeri Pahang beri, saya terima lah. Kalau tidak, kita bincang lagi dan tengok macam mana, tengok tugasan yang sesuai untuk saya.

“Jangan bagi saya jaga ayam, kambing, lembu, matilah saya..saya tak tahu. Sama juga kalau jaga kesihatan, kurang pengetahuan berkenaan itu. Harap tugasan yang mempunyai manfaat dan sesuai dengan kepakaran saya,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Chon Siang yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu memulakan tugas rasmi sebagai Exco Pahang bermula Jumaat.

Beliau tiba di lobi blok B, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang pada jam 8.25 pagi sebelum mengimbas jari pada alat perakam waktu di bangunan berkenaan tepat jam 8.30 pagi.

Beliau menzahirkan rasa teruja selepas bergelar Exco Pahang walaupun berdebar menanti cabaran seterusnya dalam menggalas tanggungjawab tersebut.

“Selama 10 tahun saya jadi YB (ADUN) asyik tanya soalan kepada kerajaan negeri (ketika Sidang Dewan Undangan Negeri) tapi sekarang saya kena lah bagi orang tanya soalan pula. Memang rasa pelik sekarang tapi saya harap dapat terima cabaran dengan baik.

“Memang pelik bila perlu bekerjasama (Barisan Nasional- Pakatan Harapan) tapi demi rakyat saya yakin kita boleh bercampur dengan baik dan membela nasib rakyat negeri ini,” jelas beliau.