'Cukuplah usah persenda Maguire'

in Sukan by

Maguire (kanan) menjadi mangsa ejekan di laman sosial ekoran prestasi hambar bersama United, namun cemerlang membantu England di Qatar. Foto EPA

PEMAIN tengah England, Kalvin Phillips mempertahankan rakan sepasukannya, Harry Maguire yang sering menjadi bahan ejekan ketika Three Lions bersedia menentang Perancis dalam saingan aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad.

Kritikan terhadap pertahanan Manchester United itu ekoran prestasi hambar Maguire yang hanya bermula dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selain disebabkan masalah kecederaan.

Kehadiran pemain Argentina, Lisandro Martinez turut menjejaskan posisi Maguire di United, namun dia mempamerkan aksi mantap buat England di Qatar apabila bermula dalam senarai kesebelasan utama.

Phillips percaya kebanyakan ejekan terhadap Maguire adalah salah.

“Saya sedar Maguire tidak banyak beraksi musim ini tidak seperti yang diinginkannya. Dia mendapat banyak kecaman, yang saya fikir tidak sepatutnya,” ujar Phillips.

Phillips juga menganggap Maguire seorang profesional dan pemain bola sepak yang hebat.

“Dia seorang daripada pertahanan terbaik di dunia. Begitu juga dengan England, dia seorang daripada pertahanan terbaik dalam tempoh yang lama terutamanya pada kejohanan utama,” katanya.

Phillips merasakan Maguire seorang pemain yang boleh diharapkan untuk berdepan penjaring gol terbanyak Perancis, Olivier Giroud pada aksi suku akhir nanti.

“Apabila kami berdepan sepakan percuma, perlu menghalang atau perlu melakukan terjahan, dia adalah orang pertama yang melakukannya.

“Dia juga sentiasa menjadi orang pertama untuk menanduk bola. Apatah lagi, dia pernah menjaringkan beberapa gol penting sebelum ini,” katanya.