Griezmann duri dalam daging buat England

in Sukan by

Antoine Griezmann – Foto EPA

NAIB juara Euro 2020, England bukan hanya perlu menyekat bintang Perancis, Kylian Mbappe tetapi juga Antoine Griezmann, apabila kedua-dua pasukan berentap pada suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt pada awal pagi Ahad.

Tonggak pertahanan The Three Lions, Kieran Trippier percaya Griezmann akan menghadirkan ancaman kepada pasukan itu.

“Memandangkan aksi England, Perancis merupakan pertembungan sekata dan boleh diputuskan pada jaringan gol ajaib, tumpuan tidak hanya perlu diberikan kepada Mbappe, tetapi juga Griezmann.

“Saya pun tidak tahu bagaimana ancaman akan hadir menerusi Griezmann, namun saya percaya dia memiliki kualiti sepanjang pengalaman beraksi bersamanya,” katanya yang pernah beraksi bersama pemain itu sebelum ini.

Jelas Trippier, pada ketika ini kebanyakan perbincangan sebelum perlawanan berkisar kepentingan membendung pendahulu Kasut Emas, Mbappe di Al Khor.

“Anda perlu melihat semula bakat dia sepanjang kariernya dan apabila anda bermain dengannya, anda juga melihat bakat individunya.

“Dia cukup bijak mengambil ruang. Dia juga menjaringkan gol. Dia adalah salah seorang daripada mereka walaupun dalam latihan dia pandai mengambil ruang,” kata bek kanan Newcastle United itu.

Trippier pernah beraksi bersama Griezmann ketika kedua-duanya menyarung jersi Atletico Madrid kendalian Diego Simeone sebelum berpindah menyertai The Magpies.

Pemain berusia 32 tahun itu memenangi La Liga pada 2020-21, sekali gus menamatkan tugasannya di Sepanyol dengan pencapaian terbaik.

England mara ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan B mengatasi Amerika Syarikat, Iran dan Wales, manakala Perancis mengungguli Kumpulan D meninggalkan Australia, Tunisia dan Denmark.