Guardian bantu kanak-kanak kekal bersih, sihat

in Bisnes by

Sebahagian kanak-kanak sekolah rendah bersama pasukan Guardian menunjukkan botol mandian yang diterima.

GUARDIAN Malaysia (Guardian) melalui program khidmat masyarakat baharunya, ‘Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak’ akan membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah kekal bersih dan sihat.

Pengarah Pemasaran Jenama, Asia Tenggara Guardian, Anna Ng berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif #guardiancares, program itu akan bermula pada 15 Disember depan yang menyediakan produk penjagaan diri, terutamanya mandian badan untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, menerusi program itu, Guardian menyasarkan untuk menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.

“Inisiatif ini merupakan program khidmat masyarakat Guardian di seluruh rantau yang meliputi lima negara yang mana setiap negara bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan agar sumbangan kami akan sampai kepada kanak-kanak yang dimaksudkan.

“Di Malaysia, Guardian akan bekerjasama dengan Yayasan Perintis Malaysia yang akan membantu mengedarkan produk mandian dan mengenal pasti penerima kanak-kanak bagi pihak Guardian. Kami akan memfokuskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah daripada keluarga B40 yang tinggal di rumah pangsa dan rumah kos rendah berhampiran sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, untuk setiap satu liter produk mandian Guardian yang dijual di Malaysia, 15 sen akan didermakan kepada golongan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Kami berharap pelanggan dapat menyokong usaha khidmat masyarakat kami dengan membeli produk mandian badan Guardian,” katanya.

#guardiancares adalah satu inisiatif yang mampan yang memberi tumpuan terhadap kesihatan pelanggan dan komuniti di mana Guardian beroperasi.

Pada Rabu, sebagai tanda pelancaran kempen itu di Malaysia, seramai 200 kanak-kanak Tahun Satu dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 1 menerima dua botol mandian badan satu liter dan 100 mililiter (ml) berserta patung beruang Guardiancares setiap seorang.

“Seramai 800 murid Tahun Dua hingga Enam pula menerima satu botol mandian badan 1 liter. Mereka turut menerima beg eko #guardiancares berserta poster kebersihan yang menunjukkan cara yang betul untuk membasuh tangan dan badan semasa mandi,” ujar Anna.

Beliau berkata, patung beruang Guardiancares akan dijual pada harga RM30 di semua stor Guardian di seluruh Malaysia dan di stor dalam talian serta aplikasi mudah alih Guardian.

“Semua hasil jualan patung beruang Guardiancares akan disalurkan ke dana #guardiancares bagi menyokong keperluan penjagaan diri kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia,” katanya.

Pada pelancaran itu, ahli pasukan Guardian juga turun padang untuk membantu menyiapkan satu mural yang diilhamkan oleh Haris Rashid di sekolah tersebut yang menggambarkan kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan.