Harga minyak melonjak

in Global by

Harga minyak meningkat pada Jumaat berikutan laporan kebocoran saluran paip yang menyalur minyak mentah dari Kanada ke AS. – Foto 123RF

ANKARA – Harga minyak meningkat pada Jumaat berikutan laporan kebocoran saluran paip yang menyalur minyak mentah dari Kanada ke Amerika Syarikat (AS), menjejaskan hampir 600,000 tong minyak sehari, lapor Anadolu.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent diniagakan pada AS$76.66 setong pada 09.59 pagi waktu tempatan (0659 GMT), naik 0.67 peratus daripada harga penutupan AS$76.15 setong pada sesi dagangan sebelumnya.

Pada masa yang sama, penanda aras Amerika West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$72.02 setong, menokok 0.78 peratus berbanding AS$71.46 setong pada penutupan sebelumnya.

Dalam sesi dagangan sebelumnya, kedua-dua penanda aras itu merosot ke paras terendah sejak Disember 2021, dengan Brent jatuh kepada AS$75.74 setong berikutan kebimbangan mengenai kenaikan kadar Rizab Persekutuan yang lebih tinggi minggu depan.

Bagaimanapun, harga pulih pada Jumaat selepas kebocoran Keystone Paipline berhampiran sempadan Kansas-Nebraska, dibaik pulih.

TC Energy Kanada mengesahkan pengeluaran anggaran 14,000 tong minyak pada lewat Khamis.

Pentadbiran Maklumat Tenaga melaporkan inventori minyak merosot kira-kira 5.2 juta tong pada minggu berakhir 2 Dis, penurunan lebih besar daripada jangkaan yang sepatutnya mengehadkan kenaikan harga.

Dalam tempoh yang sama, inventori petrol AS melonjak sebanyak 5.3 juta tong sekali gus mengehadkan kenaikan harga. – Bernama