Kerajaan konsisten perangi rasuah: PM

in Nasional by

Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto: Bernama

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan terus konsisten dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Beliau berkata, agenda reformasi terutama dalam usaha mencegah rasuah tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan.

“Sebaliknya, nilai-nilai seperti integriti, akhlak dan etika adalah aspek yang perlu diterap dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya di Facebook pada Jumaat.

Kenyataan itu merujuk sempena sambutan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa pada Jumaat.

Menurut Anwar, dengan meraikan serta memartabatkan integriti, ia berupaya memacu Malaysia ke arah kecemerlangan yang holistik dengan mencakup aspek fizikal, rohani, nilai dan identiti.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.