Moevd Umrah platform digital pertama tawar pakej umrah

in Bisnes by

Pengusaha agensi pelancongan umrah dan haji berdaftar dengan Moevd hadir pada satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

MOEVD Groups Sdn Bhd (Moevd) menerusi aplikasi gaya hidupnya, Moevd telah memperkenalkan platform digital terkini, Moevd Umrah untuk memberikan kemudahan kepada pengusaha agensi pelancongan umrah dan haji yang berdaftar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zumy Zuheidy berkata, Moevd Umrah merupakan platform digital pertama di Malaysia yang menawarkan pelbagai pakej umrah dari pelbagai agensi di seluruh Malaysia.

“Pelanggan boleh membuat perbandingan dan memilih pakej umrah yang terbaik untuk diri sendiri atau keluarga secara dalam talian, pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Zumy berkata, antara kelebihan yang ditawarkan kepada agensi yang berdaftar ialah tiada kos pendaftaran, percuma promosi dan kempen yang agresif di media sosial dan di dalam aplikasi Moevd sendiri.

Menurutnya, Moevd juga mengadakan promosi di expo-expo pelancongan serta di pusat beli-belah untuk capaian pasaran pengguna yang lebih meluas.

“Aliran sistem Moevd Umrah juga telah dibentangkan supaya agensi lebih mudah untuk memahami dan menggunakan platform ini. Melalui platform ini agensi umrah yang telah berdaftar boleh menawarkan semua pakej umrah sepanjang tahun kepada bakal jemaah umrah,” ujar Zumy.

Beliau berkata, Moevd juga menawarkan diskaun sebanyak RM100 untuk 100 pengguna yang membuat tempahan terawal di platform dan percuma kurma ajwa seberat 1 kilogram (kg).

Pada Selasa, Moevd telah mengadakan satu majlis untuk memberikan taklimat mengenai platform Moevd Umrah dan kelebihannya kepada penguasaha agensi pelancongan yang berdaftar dengannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.