Netanyahu minta tempoh dua minggu bentuk kerajaan gabungan

in Global by

Parti Likud pimpinan beliau telah memeterai perjanjian gabungan bersama tiga haluan kanan paling kontroversi termasuk Religious Zionism. – Foto: Agensi

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis memohon tempoh lanjutan selama dua minggu lagi untuk membentuk kerajaan gabungan bersama sekutu ultra-Ortodoks dan pemimpin ekstremis, sebelum tarikh akhir yang diberikan tamat pada tengah malam Ahad.

“Kami masih berunding dan proses tersebut menunjukkan perkembangan yang positif. Masih terdapat isu yang belum dapat diselesaikan mengenai peruntukan jawatan,” menurut kandungan surat dikeluarkan pejabat Netanyahu.

Di bawah undang-undang negara itu, Presiden boleh memberikan tempoh 14 hari tambahan untuk meneruskan rundingan berkenaan.

Difahamkan, Parti Likud pimpinan beliau telah memeterai perjanjian gabungan bersama puak tiga haluan kanan paling kontroversi termasuk Religious Zionism.

Netanyahu turut mengumumkan ia mencapai kesepakatan dengan pihak keempat, Shas dan satu lagi blok ultra-Ortodoks, United Torah Judaism, namun ia adalah perjanjian pakatan sementara yang tidak terikat.

Pada 13 November lalu, Presiden Isaac Herzog memberi mandat kepada beliau untuk menubuhkan kerajaan bersama sokongan puak yang mewakili 64 daripada 120 kerusi di Knesset (Parlimen). – AFP