Pemimpin perlu rujuk sultan berkait permasalahan negeri, agama

in Edisi by

Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM – Khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor mengingatkan pemimpin di negeri ini hendaklah sentiasa merujuk kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam permasalahan negeri dan agama.

Dalam khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu memberitahu, semua pemimpin perlu mengetahui bahawa titah baginda adalah mulia dan doa baginda mustajab.

“Walaupun tugas seorang sultan amat berat dan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti, namun Islam menjanjikan kelebihan dan keistimewaan di dunia dan akhirat kepada sultan yang terbaik dan adil seperti doanya tidak ditolak dan menjadi ahli syurga,” menurut teks khutbah itu pada Jumaat.

Sehubungan itu, khutbah Jumaat itu mengajak seluruh umat Islam menyakini Sultan Selangor sebagai pemimpin adil kepada rakyat.

Jelas khutbah itu, selaku pemerintah adil, rakyat perlu mentaati sultan kerana ia satu ibadah dan perintah ALLAH yang menjanjikan ganjaran di dunia dan akhirat.

Khutbah itu turut meminta seluruh umat Islam mendoakan Sultan Selangor dikurniakan kesihatan dan keimanan untuk memerintah negeri dengan bijaksana, adil dan saksama sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor kali ke-77 pada Ahad.

“Peranan aktif Sultan Selangor dalam menyuarakan prinsip-prinsip Islam dan nasihat membabitkan kesucian Islam adalah satu usaha baginda melaksanakan perintah ALLAH.

“Sultan yang adil akan mendapat perlindungan Allah di dunia dan ganjaran syurga di akhirat bahkan doanya sentiasa dimakbulkan oleh ALLAH,” menurut teks khutbah itu.

Khutbah itu menjelaskan, Rasulullah SAW adalah manusia yang dipilih oleh ALLAH untuk menjadi contoh dan teladan terbaik kepada sultan dalam hal kepimpinan dan urusan pemerintahan.

Khutbah Jumaat itu memberitahu, baginda sentiasa mengingatkan umat Islam agar terus berpegang kepada akidah sebenar.

“Sultan Sharafuddin menggesa umat Islam sentiasa bersatu hati dan jangan berpecah belah serta sentiasa bersifat jujur, amanah dan ikhlas dalam kehidupan,” jelas khutbah itu.

Menurut khutbah itu, usaha dan ketegasan Sultan Sharafuddin memelihara dan mendaulatkan agama Islam wajib disambut umat Islam sendiri.

“Oleh itu, Sultan adalah ‘Ulil Amri’ (pemimpin) yang wajib ditaati dalam urusan berkaitan memartabatkan Islam,” jelas khutbah itu.

Khutbah itu menjelaskan, terdapat 10 tugas utama bagi seorang sultan sebagaimana difahamkan apa yang disenaraikan oleh Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah.

“Tugas itu antaranya memelihara agama Islam daripada dicemari golongan sesat; melaksanakan pentadbiran Islam; melindungi negeri dengan kemakmuran institusi ibadah dan pendidikan; menegakkan undang-undang Islam dan mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Selain itu, berjihad memerangi mana-mana pihak yang cuba menghina Islam; mengurus zakat; kebajikan petugas-petugas Islam; petugas Islam yang terlatih dan jujur serta menjawab segala persoalan ummah dan memerhati keadaan,” kata khutbah itu.