'Pengundi sokong PN sebab hilang percaya kepada parti lawan'

in Politik by

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) semasa menyerahkan replika cek bagi Program Sawah Gemilang Peningkatan Hasil Tanaman Padi dan Peningkatan Kemudahan Jalan Ladang untuk Kampung Wang, Mukim Ah pada Majlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu.

JITRA – Pas menjelaskan faktor sebenar kemenangan Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan oleh pengundi sudah hilang kepercayaan kepada parti lawan dan bukannya mereka menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan sempit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tsunami sokongan pengundi Melayu kepada PN adalah disebabkan oleh sudah hilang kepercayaan kepada parti-parti lawan yang jelas tidak mempunyai pendirian.

Menurutnya, semua parti dalam PN juga berjuang selari dengan perlembagaan masing-masing seperti yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Pas ini memang namanya Parti Islam Semalaysia. Maka kami bukan permainkan isu agama sebaliknya kita perjuangkan agama dan perkara itu memang selari dengan nama parti ini.

“Kalau Parti Amanah Negara (Amanah) kami tak tahulah mereka perjuangkan apa. Barisan Nasional pun saya tidak tahu apa yang diperjuangkan. Sebelum ini mereka maki Pakatan Harapan (PH) dan DAP tetapi pada akhirnya berkawan semula.

“Bagi saya perjuangan BN dan PH sudah hancur. Yang kekal berada di atas garis seperti termaktub perlembagaan parti masing-masing hanyalah parti yang berada di dalam PN. Tiada perkara pelik serta tidak perlu dipersoalkan berhubung perkara itu,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu di Masjid Haji Ismail, Batu 18 dekat sini.

Muhammad Sanusi mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa kekalahan PH di Padang Serai adalah disebabkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit.

Kemenangan besar dengan majoriti 16,260 undi melalui Datuk Azman Nasrudin menyaksikan PN mendominasi 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.

Jelas Muhammad Sanusi, faktor sebenar kemenangan PN adalah disebabkan oleh pengundi sudah hilang kepercayaan kepada parti lawan yang jelas semakin tidak mempunyai pendirian yang teguh.

“Mereka cakap macam lain, buat macam lain. Sebab itulah orang tak percaya kepada parti-parti tersebut. Kami sebaliknya tetap dengan garis perjuangan parti.

“Kami menawarkan perkara paling diperlukan di negara ini iaitu prihatin, bersih dan stabil. Kerana itulah pengundi datang kepada PN,” ujar Muhammad Sanusi lagi.