SPRM sudah terima butiran dana RM600 bilion

in Nasional by

Kenyataan media yang dikeluarkan SPRM

SHAH ALAM- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat itu diperoleh daripada Kementerian Kewangan dan hasil siasatan awal mendapati, jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

“Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan.

“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” menurut kenyataan berkenaan pada Jumaat.

SPRM pada Khamis memaklumkan, siasatan yang terperinci dan profesional akan dijalankan berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.

Satu kertas siasatan juga telah dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini.