Tiga pemimpin UMNO dipecat: Mohd Puad

in Politik by

Mohd Puad ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur selepas selesai mesyuarat MKT UMNO pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin UMNO dipecat keahlian kerana mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas mesyuarat tersebut selesai pada Khamis.

Mohd Puad bagaimanapun tidak memberitahu nama yang terlibat, namun menjelaskan pemecatan tersebut melibatkan seorang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian.

“Ada beberapa keputusan telah dibuat dan saya rasa akan ada sidang media untuk memaklumkan siapa dipecat.

“Mereka dipecat daripada ahli UMNO. Mereka bukan ahli MKT, ada yang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian,” katanya pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama tiga ahli yang dipecat itu.

“Presiden parti amat tegas mengenai isu disiplin dan beliau tidak berkompromi dengan mana-mana yang suka memburukkan parti termasuk membocorkan rahsia mesyuarat MKT,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu mesyuarat itu turut membangkitkan isu dana RM600 bilion melibatkan kerajaan terdahulu.

“Kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk menyiasat supaya tidak ada yang mengatakan mereka bersih tetapi sebenarnya banyak perkara-perkara yang rakyat tidak tahu telah berlaku.

“Saya harap siasatan ini dijalankan secara terperinci dan menyeluruh,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) meneruskan siasatan mereka terhadap buku Tommy Thomas dan Tabung Haji.