Tiga sungai di Terengganu melepasi paras bahaya

in Edisi by

Laluan di Kampung Kuala Ping dan Talor (Matang -Nibong) di Hulu Terengganu telah dinaiki air awal pagi Jumaat. – Foto Ihsan Pembaca

KUALA TERENGGANU – Tiga sungai di Terengganu melibatkan daerah Hulu Terengganu dan Setiu menunjukkan trend menaik dan telah melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan sejak Khamis.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemaskini jam 7.30 pagi pada Jumaat, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 20.76 meter iaitu 1.06 meter melebihi tahap bahaya.

Selain itu, dua lagi sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok (9.02 meter) dengan 0.62 meter melepasi tahap bahaya dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.29 meter) iaitu 0.29 meter melebihi tahap bahaya.

Selain itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu juga menunjukkan trend menaik dan telah melebihi paras amaran dengan ketinggian 12.17 meter.

Dalam perkembangan sama, keadaan cuaca di Terengganu pada Jumaat menunjukkan keadaan mendung, hujan renyai dan lebat di kebanyakan kawasan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di empat negeri bermula 8 hingga 10 Disember.

Keadaan hujan berterusan diramalkan berlaku di Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Kelantan, Terengganu dan Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin).