Tze Yong mampu cipta magis di Terbuka Malaysia

in Sukan by

Tze Yong menutup tirai musim 2022 dengan gelaran juara Cabaran Antarabangsa Bahrain minggu lalu. – Foto Agensi.

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berada pada landasan terbaik untuk mencipta ‘magis’ di Terbuka Malaysia 2023 selepas mempamerkan peningkatan prestasi dan menutup tirai musim ini dengan penuh bergaya.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, persiapan pemain di ranking ke-27 dunia itu untuk menghasilkan keputusan positif pada kejohanan berkenaan yang dinaikkan status kepada Super 1000 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Jun lepas giat dilaksanakan bersama jurulatihnya Hendrawan.

“Tze Yong baru sahaja masuk senarai 30 terbaik dunia dan buat pertama kalinya dia akan main di kejohanan bertaraf Super 1000, jadi kena bersedia dari segi mental untuk semua jenis perlawanan. Kadang-kadang mungkin senang tetapi kebanyakan masa susah jadi kena bersedia untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja.

“BAM memang berpuas hati dengan perkembangan dia pada tahun ini dan percaya sekiranya Tze Yong kekal fokus serta komited dia akan terus meningkat pada masa akan datang. Corak latihan juga berada dalam landasan yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Choong Han, barisan kejurulatihan BAM enggan terburu-buru untuk menetapkan sasaran buat Tze Yong di Terbuka Malaysia 2023, kerana khuatir akan memberi tekanan kepada juara Cabaran Antarabangsa Bahrain 2022 itu.

Jurulatih berusia 45 tahun itu berkata, aspek psikologi dan mental diberi perhatian untuk memastikan Tze Yong berada dalam keadaan bersedia memberikan cabaran sengit kepada pihak lawan.

Pada Terbuka Malaysia 2022, Jun lepas, Tze Yong yang dimasukkan daripada senarai pemain simpanan untuk beraksi di Kejohanan Super 750 Jelajah BWF itu, terkandas seawal pusingan pertama ketika menentang pemain China, Lu Guang Zu, 16-21, 23-21, 18-21.

Namun, beliau berjaya bangkit dengan memenangi pingat perak perseorangan lelaki dan membantu pasukan negara merampas kembali pingat emas daripada India dalam acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pemain berusia 22 tahun itu juga merupakan sebahagian daripada skuad lelaki negara yang menamatkan dominasi Indonesia dengan memenangi gelaran sulung pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lepas.

Terbuka Malaysia 2023 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 10 hingga 15 Januari. – Bernama