104 individu terima Darjah, Bintang Kebesaran Selangor esok

in Edisi Selangor KL by

Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Seramai 104 individu menerima Darjah dan Bintang serta Pingat Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim menerusi kenyataan pada Sabtu memaklumkan daripada jumlah itu, 24 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran yang membawa gelaran, manakala 80 lagi tanpa membawa gelaran.

Haris berkata, daripada 24 penerima berkenaan, dua individu menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka Seri’ bagi wanita.

“Darjah Kebesaran Datuk Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Setia’ pula dianugerahkan kepada seorang penerima manakala 10 individu menerima Darjah Kebesaran – Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

“Seramai 11 individu lain pula menerima Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita,” katanya.

Haris berkata, kerajaan negeri menerima 2,535 permohonan tahun ini dan daripada jumlah itu, 999 ialah permohonan pencalonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,536 pencalonan untuk Pingat-Pingat Negeri Selangor.

“Semua calon telah melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – Bernama