51 mangsa banjir berlindung di PPS

in Edisi Perak by

Pasukan APM Hilir Perak melakukan pemantauan di lokasi banjir sekitar Langkap pada Sabtu. – Foto APM

TELUK INTAN – Hujan berterusan menyebabkan 51 penduduk dari Kampung Batu 7, Lorong Mesra, Changkat Jong di sini berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air sejak Jumaat.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan, PPS Dewan Sekolah Menengah Abd Rahman Talib, Batu 4 di sini dibuka sekitar jam 8.45 pagi kini menempatkan 10 keluarga yang terjejas.

Hanya sebuah PPS beroperasi di seluruh negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemantauan di lokasi sering dinaiki air di sekitar Langkap dan Changkat Jong.

Untuk rekod, PPS sekolah terbabit pernah diaktifkan selama dua minggu bagi menempatkan lebih 100 mangsa sebelum ditutup pada 27 November lalu selepas banjir di kawasan berkenaan mulai surut.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu menunjukkan amaran ribut petir atau hujan lebat dijangka melanda di semua daerah kecuali Bagan Datuk.