Argentina kecewakan Belanda, raih tiket separuh akhir

in Sukan by

Argentina meraikan kejayaan menewaskan Belanda untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Sabtu. – Foto EPA

SKUAD Argentina mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 setelah menundukkan Belanda 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Lusail pada Sabtu.

Kemenangan itu meletakkan Argentina di laluan terbaik untuk memburu kejuaraan ketiga trofi berprestij itu setelah memenanginya pada 1978 dan 1986.

Tamat permainan yang berlarutan sehingga masa tambahan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Perlawanan seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan berpeluang di depan.

Argentina menerusi pemain sensasi, Lionel Messi terlebih dahulu menguji kubu Belanda, namun percubaannya pada minit ke-22 tidak menemui sasaran.

The Oranje kemudian menyusun semula gerak dan hampir menemui hasil, namun percubaan Memphis Depay turut tersasar.

Bagaimanapun, Argentina pula yang meledak menerusi Nahuel Molina yang menyudahkan bola hantaran Messi untuk menewaskan Andries Noppert di gawang pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, Belanda memulakan aksi dengan agresif menerusi beberapa pertukaran pemain, namun Argentina ampuh bertahan.

Bagi mengimbangi taktikal Belanda, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memasukkan Leandro Paredes bagi menguatkan barisan tengah dan ternyata membuahkan hasil.

Asakan bertali arus memaksa Belanda melakukan kesilapan setelah Denzel Dumfries menjatuhkan Marcos Acuna dalam kotak penalti.

Messi mudah merobek gawang pada minit ke-73 untuk Argentina mendahului dua jaringan.

Tersentak dengan jaringan itu, Belanda menggandakan asakan dan berhasil merapatkan jurang pada minit ke-83 menerusi Wout Weghorst.

Gol itu menyuntik semangat Belanda untuk memburu gol penyamaan dan Weghorst sekali lagi meledak pada masa kecederaan untuk memberi nyawa kepada skuad bimbingan Louis van Gaal itu.

Bersambung aksi di masa tambahan, bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang dan keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menafikan sepakan Virgil van Dijk dan Steven Berghuis.

Argentina pula melengkapkan empat sepakan penalti mereka dan bakal membuat perhitungan pada separuh akhir menentang Croatia yang mengecewakan Brazil 4-2 menerusi sepakan penalti setelah terikat 1-1 pada masa tambahan permainan.