Bangunan baharu Hospital Segamat tingkat khidmat perubatan

in Nasional by

Dr Zaliha (tengah) berkata sesuatu ketika diberikan taklimat berhubung bangunan baharu Hospital Segamat pada Ahad.

SEGAMAT – Bangunan baharu Hospital Segamat diharap dapat membantu memenuhi keperluan dan meningkatkan lagi perkhidmatan perubatan kepada penduduk di sekitar Segamat dan Labis.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bangunan baharu berkenaan akan dilengkapi dengan beberapa kemudahan melibatkan empat dewan bedah, 18 katil di unit rawatan rapi (ICU), unit HDU (lapan katil) selain beberapa peningkatan fasiliti lain.

Menurut beliau, bangunan baharu ini mula dibina pada April 2018 dan dijangka beroperasi pada awal tahun depan.

“Secara keseluruhannya, bangunan baharu ini akan dilengkapi dengan kemudahan fasiliti dan diharapkan ia bakal memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan Segamat dan sekitarnya,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di hospital berkenaan pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Mengulas mengenai pertambahan staf di Hospital Segamat susulan kewujudan bangunan baharu berkenaan, Dr Zaliha berkata, perkara berkenaan telahpun dikenal pasti dan bakal dipanjangkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Selain kemudahan infrastruktur di Hospital Segamat, kita juga kena tengok dari segi keperluan doktor, jururawat dan kakitangan.

“Lagi pun, ia memang ekosistem Kementerian Kesihatan dan kita kena tengok secara menyeluruh,” katanya.