Kanada lulus suntikan penggalak bivalen untuk budak 5 tahun

in Khas by

Gambar hiasan

OTTAWA – Health Canada pada Jumaat meluluskan dos penggalak bivalen Pfizer-BioNTech Comirnaty Omicron BA.4/BA.5 digunakan ke atas kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, lapor Xinhua.

Ia merupakan dos penggalak Covid-19 bivalen pertama yang dibenarkan ke atas kumpulan itu bagi membendung strain Covid-19 asal dan subvarian Omicron BA.4/BA.5, menurut Health Canada dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Health Canada membenarkan suntikan penggalak bivalen digunakan terhadap individu berumur 12 tahun ke atas pada 7 Oktober 2022, menurut kenyataan itu.

Walaupun formulasi bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun adalah sama, dos yang dibenarkan hanya satu pertiga daripada dos bagi individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Berdasarkan semakan saintifik yang menyeluruh, Health Canada menyimpulkan bahawa suntikan penggalak bivalen bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun adalah selamat dan berkesan.

Vaksinasi terus menjadi antara langkah berkesan melindungi keluarga dan komuniti daripada Covid-19. – Bernama