Pejuang Selangor sedia bekerjasama parti lain hadapi PRN

in Politik by

Harumaini

SHAH ALAM – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Selangor bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun depan.

Ketuanya, Harumaini Omar berkata, hasrat itu supaya pembentukan kerajaan negeri kelak lebih seimbang, stabil dan progresif dengan mengutamakan agenda rakyat berbanding kepentingan politik kepartian.

“Pejuang Selangor menzahirkan keterbukaan bagi mengadakan proses rundingan jaringan kerjasama dengan parti-parti politik mahupun mana-mana blok parti sebagai persediaan bagi PRN.

“Walaupun terbuka untuk bekerjasama namun tetap teguh berpegang kepada prinsip asas tanpa kompromi termasuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Harumaini yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali bagaimanapun berkata, Pejuang masih kekal untuk terus memperjuangkan Melayu tanpa menafikan mahu pun menzalimi hak kaum lain.

“Pejuang Selangor beriltizam memperjuangkan gagasan bangsa Malaysia yang progresif dan dinamik di samping memupuk perpaduan kaum untuk kembalikan ekonomi Malaysia dan pembangunan Selangor yang lebih mampan,” tambahnya.