Penduduk berjaga-jaga air Sungai Golok lepasi paras bahaya

in Edisi by

Penduduk Kampung Tersang yang tinggal berdekatan Sungai Golok mengambil langkah berjaga-jaga selepas hujan lebat sejak tiga hari lalu. – Foto Bernama

PASIR MAS – Penduduk di Pekan Rantau Panjang yang tinggal berdekatan Sungai Golok mengambil langkah berjaga-jaga apabila air sungai tersebut naik melepasi paras bahaya selepas hujan lebat sejak tiga hari lepas.

Peniaga kedai makan, Syed Abu Bakar Syed Daud, 62, berkata, walaupun sudah biasa menghadapi bencana alam itu sejak puluhan tahun namun dia tetap bimbang sekiranya berlaku banjir di luar jangkaan.

“Saya telah melakukan persiapan dengan meletakkan barang-barang di rak yang dibina khusus untuk menghadapi bencana banjir setiap tahun.

“Biasanya jika banjir di Pekan Rantau Panjang kami tidak boleh berniaga selama seminggu kerana air Sungai Golok melimpah dan memasuki kawasan pekan ini separas pinggang orang dewasa,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Sabtu.

Menurut laman web Infobanjir Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) paras air Sungai Golok melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan 9.34 meter setakat jam 12.30 tengah hari.

Syed Abu Bakar berkata, sejak 20 tahun berniaga di pekan itu, banjir biasa berlaku apabila hujan lebat berterusan selama tiga hari.

“Sekarang ini hujan lebat namun tidak lama, sekejap lebat sekejap tidak namun kami tetap berwaspada kerana air Sungai Golok tidak lagi pecah dua memasuki Thailand dan Rantau Panjang. Kini lebih tertumpu ke kawasan pekan kerana di sebelah Thailand sudah ada benteng di sepanjang sungai itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Tersang yang terjejas banjir bulan lepas mendapati berlaku limpahan air sungai dan sudah memasuki kawasan halaman rumah penduduk.

Marie Suriani Abdullah, 43, berkata, penduduk kampung itu baharu sahaja pulang ke rumah masing-masing minggu lepas setelah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sekarang ini, kami berjaga-jaga untuk sekali lagi berpindah ke PPS sekiranya berlaku lagi banjir.

“Setiap kali tiba musim tengkujuh kami perlu berpindah ke PPS tiga hingga empat kali,” katanya.

Rosmandi Che Wil, 49, berkata, apabila tiba bulan Disember penduduk kampung pasti resah memandangkan kediaman mereka terletak kira-kira 20 meter daripada Sungai Golok.

“Jika hujan lebat dua atau tiga hari kami perlu mengemas rumah untuk berpindah.

“Setiap tahun berdepan dengan banjir menyebabkan kami lebih bersedia dan seawal bulan November persiapan rapi termasuk bot telah disediakan,” katanya. – Bernama