Penduduk Kampung Batu Kapor risau banjir besar berulang

in Edisi Pahang by

Penduduk telah bersiap sedia untuk pindah ke PPS sekiranya banjir semakin teruk. Gambar kecil dari kiri: Rasul, Nor Aida Borhn, MunifElva bersama anaknya, Yazid yang mengalami kecacatan kaki kanan sejak lahir.

TEMERLOH – Penduduk di Kampung Batu Kapor dekat Mentakab di sini resah memikirkan jika episod banjir besar pada tahun lalu berulang selepas kampung itu dilanda banjir sejak Khamis.

Trauma banjir besar yang menenggelamkan rumah penduduk tahun lalu menjadi episod duka yang membekas di hati penduduk kampung itu.

Buat masa ini sebahagian penduduk sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan selepas paras air semakin meningkat sejak Jumaat selain sibuk memindahkan barang-barang ke tempat selamat.

Bagi Nor Aida Borhan, 58, dia mengambil langkah berjaga-jaga kerana gusar jika paras air terus meningkat.

“Rasa takut, risau semua ada bila kenangkan banjir tahun lepas, dan amat berharap tidak lagi berlaku banjir besar lagi.

“Saya dan keluarga sedang sibuk mengemas barang penting dan harap air cepat surut,” kata Nor Aida.

Seorang warga emas, Munif Abu Samah, 65, memberitahu, dia dan keluarganya akan berpindah ke PPS petang ini jika paras air terus meningkat.

“Macam orang lain, saya pun trauma dan berharap sangat banjir tidak sebesar tahun lalu,” tambah Munif

Dalam pada itu, Elva Susanti Muktaridi, 46, berkata, setiap kali banjir dia bukan sahaja risaukan harta benda tetapi juga keadaan anak lelaki, Yazid Zulkepli, 12 tahun yang sukar berjalan.

**media[2017487]**

Katanya, anaknya mengalami kecacatan kaki kanan sejak lahir terpaksa diangkat ke atas bot setiap kali banjir kerana tidak dapat menaiki bot dengan sendiri.

“Setiap tahun kami bukan sahaja terpaksa pindahkan barang-barang tetapi risau dengan keadaan anak saya ketika berpindah menaiki bot, kali ini sekali lagi saya dan suami mengangkatnya ke atas bot,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Kampung, Rasul Mat Yurit berkata, penduduk di situ berharap kejadian banjir pada kali ini tidak seteruk tahun lalu yang menenggelamkan rumah penduduk.

Ujar beliau, keresahan sememangnya ada dalam kalangan penduduk yang bimbang banjir besar seperti tahun lalu berulang memusnahkan banyak rumah dan harta benda.

“Pada masa ini, sebahagian penduduk telah berpindah dan penduduk juga telah memindahkan barangan masing-masing ke tempat yang selamat.

“Sudah dua malam sebahagian penduduk telah berpindah dan trend air pada kali ini tidak dapat dipastikan sebab berbeza tahun lalu air datang sekali harung memang teruk tetapi kali ini lain.

“Kalau keadaan izinkan Allah bagi dugaan dia tambah lagi (air semakin naik) kalau tidak dan air surut bolehlah kita balik ke rumah masing-masing,” jelas Rasul lagi.

Sehingga jam 2 petang Sabtu, seramai 303 penduduk daripada 88 buah keluarga dari kampung tersebut dan Kampung Gajah Mati telah dipindahkan di PPS SMK Seri Semantan sejak Khamis lalu.

Tamat