Perkhidmatan Terminal Feri Pasir Gudang diteruskan

in Edisi Johor by

Perkhidmatan Terminal Feri Pasir Gudang di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, tidak dihentikan operasinya sebaliknya diteruskan pada Sabtu.

PASIR GUDANG – Perkhidmatan Terminal Feri Pasir Gudang dari Pelabuhan Johor di sini ke Batam, Indonesia tidak ditamatkan pada Sabtu, sebaliknya akan diteruskan seperti biasa.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara tersebut sudah dipersetujui antara pihak pengurusan terminal tersebut dengan Pelabuhan Johor (Johor Port).

“Saya mengalu-alukan pihak Johor Port yang merupakan pemilik tanah bangunan terminal feri tersebut yang bersetuju mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat operator terminal feri tersebut (Pasir Gudang Passengers Terminal Sdn Bhd) untuk menyelesaikan isu perlanjutan tempoh pajakan tapak terminal tersebut dimaklumkan berakhir pada hari ini.

“Dalam perbincangan tidak rasmi pagi ini, saya menyatakan pandangan sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang yang mahu melihat operasi terminal feri tersebut diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Hassan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak pengurusan terbabit bagi mencari penyelesaian isu penutupan terminal feri berkenaan.

Jelas beliau, perkhidmatan tersebut perlu diteruskan kerana terminal feri berkenaan menjadi laluan keluar dan masuk dari Batam ke Johor melalui Pasir Gudang.

Ujar beliau, terminal feri itu juga memberi perkhidmatan kepada pelawat dan pelancong dari Batam ke Johor sekali gus membantu ekonomi Pasir Gudang.

Menurutnya, jarak antara Batam dengan Pasir Gudang adalah dekat dan perjalanannya pendek.

Tambahnya, ia juga menyumbang kepada sektor pelancongan kesihatan, rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar di Pasir Gudang boleh datang melalui Terminal Feri Pasir Gudang,” katanya.

Hassan berkata, perkhidmatan teksi tempatan turut mendapat faedah dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga dapat menggunakan kemudahan depo sementara di terminal feri itu untuk menghantar pendatang pendatang tanpa izin pulang (PATI) ke Indonesia.