PRN: PH Pulau Pinang kerja keras pertahan kerusi DUN

in Politik by

Chow Kon Yeow – Foto Bernama

NIBONG TEBAL – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bekerja keras menjelang Januari ini bagi mempertahankan enam atau tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tahun depan.

Tanpa menamakan kerusi terbabit, Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana berdasarkan keputusan di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau meramalkan gabungan itu akan hilang enam atau tujuh kerusi DUN yang dikuasainya, pada PRN akan datang.

Pandangan saya itu berdasarkan kepada keputusan di peringkat Parlimen dan melihat kepada saluran pengundian ia boleh memberi gambaran sebenar terhadap pilihan yang dibuat oleh pengundi di kawasan masing-masing.

“Jadi, ini adalah satu indikator memandangkan pilihan raya tidak diadakan secara serentak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana Kadun Jawi di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan.

Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya terdahulu yang meramalkan PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi dalam PRN Pulau Pinang akan datang berdasarkan trend yang dilihat dalam PRU15.

Walaupun ia tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, Kon Yeow dilaporkan berkata, pengaruh gabungan itu di negeri berkenaan tidak akan menjadi sekuat dulu.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, parti komponen dalam PH akan mengatur strategi dan menganjurkan program lawatan bagi mendekati masyarakat, di samping bertemu dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian isu yang dibangkitkan semasa kempen PRU15.

“Macam di Batu Kawan saya (selaku Ahli Parlimen Batu Kawan) pun sudah atur sesi libat urus dengan agensi untuk respon terhadap isu yang saya kutip semasa berkempen PRU15,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH menang 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, Barisan Nasional (BN) dua kerusi dan Pas (satu).

Bagaimanapun, selepas Bersatu umum keluar PH dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebarang Jaya dan Sungai Acheh umum keluar PKR dan menyertai Bersatu, komposisi terkini kerusi DUN Pulau Pinang adalah PH dengan 33 kerusi, BN (dua) dan PN (lima). – Bernama