RM550,000 naik taraf tapak Stadium Bola Ngoca

in Edisi by

Aminuddin (lima dari kanan) ketika hadir pada majlis berkenaan.Aminuddin (kiri) ketika menyertai salah satu aktiviti pada program tersebut. – Foto YAB Aminuddin Harun

KUALA PILAH – Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM550,000 bagi projek naik taraf kemudahan dan membina pencahayaan di tapak Stadium Bola Ngoca di sini pada tahun hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, melalui kemudahan itu nanti ia bakal membuka peluang kepada pelbagai pihak menganjurkan program yang berskala lebih besar di sini.

“Ditambah pula dengan Projek Fasa Kedua Pembangunan Kampung Budaya Terachi melalui peruntukan sebanyak RM3 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

” Projek ini akan siap tahun hadapan melibatkan pembinaan 12 lot kedai baharu sekali gus diharapkan akan meningkatkan lagi kegiatan ekopelancongan di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Bola Ngoca sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Sembilan tahun 2022 di Perkampungan Budaya Teraci pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut berharap dengan kelulusan peruntukan dan pelaksanaan projek ini akan menyemarakkan lagi kegiatan pelancongan dan menjadikan negeri ini destinasi utama pelancongan dunia.

**media[2017656]**

“Tapak sawah berkeluasan 0.81 hektar yang terletak di Perkampungan Budaya Terachi Kuala Pilah ini merupakan stadium bola sepak sawah yang pertama dan menjadi satu-satunya di negara ini.

“Kejayaan penganjuran program sebelum ini seperti Pesta Bola Ngoca Merdeka, program ngoca Majlis Pengurusan Komuniti Kamping (MPKK), bola tampar sawah dan program Tarik Tali Ngoca yang diadakan telah menarik perhatian dan minat pelbagai pihak lain untuk menganjurkan aktiviti di tapak ini pada masa akan datang.

“Saya yakin dengan pembinaan stadium ini kita dapat meneruskan aktiviti sukan sawah yang bakal menjadi aktiviti sukan rakyat utama di negeri ini dan menjadi salah satu tarikan atau simbolik pelancongan untuk program sukan rakyat warisan negeri,” ujarnya.