'Separuh masa kedua yang pelik'

in Sukan by

Foto EPA

PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni memuji keupayaan pasukan selepas berjaya mengharungi cabaran berliku menewaskan Belanda menerusi penentuan penalti dalam aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Sabtu.

Menurutnya, pemain Argentina berjaya menghadapi situasi tidak terduga dengan Belanda dan berjaya menyamakan kedudukan selepas Argentina mendahului 2-0.

“Argentina mempunyai semangat berpasukan dan kami tahu cara untuk menghadapi pelbagai situasi.

“Memang betul kami tidak sepatutnya mengharungi penentuan penalti tetapi berjuang sehingga ke akhir kerana Belanda menyukarkan kami.

“Separuh masa kedua amat pelik apabila anda melihat segalanya sudah berakhir tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Argentina terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol daripada Nahuel Molina dan Lionel Messi, namun Wout Weghorst tampil dengan dua gol pada separuh masa kedua untuk mengikat kedudukan.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Argentina menang 4-3 dan meneruskan kemaraan menentang Croatia di peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, tonggak sensasi Argentina, Lionel Messi mengakui cabaran yang diberikan Belanda dan satu kegembiraan apabila pasukannya berjaya mara.

“Apabila Lautaro Martinez menjaringkan gol (penalti) dan kami layak ke separuh akhir, ia satu kegembiraan yang amat besar dan kami boleh menarik nafas lega.

“Ini satu aksi yang begitu sukar sejak dari mula dan ini yang kami jangkakan. Belanda menyukarkan kami dengan hantaran panjang dan begitu ramai pemain dalam kawasan menyerang.

“Mereka mengikat kedudukan dan kami kecewa. Tetapi kami dapat mengesahkan tempat ke separuh akhir seperti yang kami inginkan,” katanya.