'Setiap malam kampung kami berjerebu'

in Edisi by

Kawasan kilang dipercayai menjadi punca Kampung Bekor, Kuala Kangsar berjerebu. (Foto ihsan pembaca) Meor Razak menunjukkan gambar kawasan kilang yang dipercayai beroperasi secara haram dengan melepaskan asap tebal hingga mengganggu penduduk di Kampung Bekor, Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR – Lebih 500 penduduk hidup dalam keadaan tidak selesa apabila terpaksa menghidu asap tebal berbau busuk yang dilepaskan daripada sebuah kilang disyaki beroperasi secara haram di Kampung Bekor di sini.

Kilang dipercayai meleburkan sisa terjadual itu menimbulkan curiga apabila hanya beroperasi sekitar jam 7 petang hingga 5 pagi sejak empat bulan lalu.

Premis terbabit dibina dalam sebuah ladang kelapa sawit terletak kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama itu dipercayai menjadi punca persekitaran kampung berkenaan berjerebu.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, keadaan rumahnya seperti terkena semburan kabus (fogging) berikutan kedudukannya yang hampir dengan kilang terbabit.

“Setiap malam sekeliling rumah berkabus hingga tidak nampak jalan kerana terlalu tebal asapnya. Bau pula seperti hangit wayar atau getah dibakar, terlalu busuk.

“Keadaan itu buatkan kami tidak boleh tidur hingga tekak dan mata berasa pedih. Saya terpaksa pindahkan ayah yang uzur dan adik-beradik termasuk seorang kurang upaya (OKU) ke rumah kakak di Selangor kerana takut memberi kesan terhadap kesihatan,” katanya di sini pada Jumaat.

Pembantu tadika, Nooraini Abd Hamid, 49, berkata, dua anaknya berusia 19 dan 30 tahun kini lebih kerap menggunakan ‘inhaler’ atau ubat sedut kerana menghidu asap itu.

“Mereka jarang asma tetapi beberapa bulan ini serangan asma semakin kerap berlaku hinggakan inhaler tidak lepas dari tangan takut tiba-tiba semput.

“Kalau biar berterusan bimbang ia menjejaskan kesihatan anak-anak. Kewujudan kilang itu berbahaya kerana penduduk di sini kebanyakannya dalam kalangan warga emas dan boleh dikatakan dekat dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Bekor,” katanya.

Penduduk, Mohd Fadzil Ahmad Tajuddin, 47, pula menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terhadap kewujudan aktiviti industri di kawasan kampung mereka.

“Banyak treler dilihat memasuki kawasan ladang sawit membawa muatan seperti sisa besi dan tembaga untuk dileburkan.

“Difahamkan mereka juga menggajikan ramai pekerja dalam kalangan warga asing. Kawasan itu dijaga rapi dengan sekeliling kilang dibina dengan zink yang mana penduduk tidak boleh menghampirinya,” katanya.

**media[2017159]**

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pembinaan kilang di kawasan pertanian memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya diluluskan, ia mesti ada papan tanda yang memaklumkan operasi mereka.

“Perkara ini perlu dirujuk kepada PBT dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan terdapat pencemaran udara yang dialami penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul ketika dihubungi memaklumkan tindakan awal telah diambil pada Khamis selepas menerima aduan berkaitan aktiviti kilang di kawasan pedalaman itu.

“Kita dapati operasi kilang yang memproses bahan-bahan buangan terjadual adalah tidak mengikut piawaian yang digariskan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kita turut mengambil sampel sisa bahan tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut. Kilang dipercayai beroperasi secara haram itu memerlukan tindakan daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau, operasi kilang terbabit telah dihentikan dan pihaknya menyita bahan mentah serta nota ‘field citation’ atau penilaian pemeriksaan telah dikemukakan kepada pihak berkenaan.