Timbalan menteri muka baharu perlu buktikan mampu buat kerja

in Analisis Sinar by

Laporan Sinar Harian.

AKHIRNYA lengkaplah kabinet Kerajaan Perpaduan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 27 timbalan menteri malam tadi.

Daripada kesemua nama timbalan menteri yang diumumkan ada antaranya muka lama, namun majoritinya muka baharu.

Seramai 15 wajah baharu ditampilkan antaranya Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan).

Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, juga muka baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Adik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying, yang juga Ahli Parlimen Tanjong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Pengumuman senarai timbalan menteri itu juga turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ada yang memuji Perdana Menteri kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada anak muda seperti Adam Adli, 33, dan Akmal Nasrullah, 36, membarisi kabinet.

Namun, ibarat rumah sudah siap, pahat masih berbunyi, segelintir netizen mempersoalkan pemilihan Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ke jawatan itu atas beberapa sebab.

Selain itu, pelantikan timbalan menteri yang mempunyai hubungan dengan pemimpin utama parti dalam Kerajaan Perpaduan juga dipersoalkan.

Oleh itu, barisan muka-muka baharu timbalan menteri berkenaan perlulah membuktikan mereka benar-benar mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.