177 OKU ditempatkan bekerja sektor awam, swasta di Johor

in Edisi by

Khairin Nisa ketika Sidang DUN Johor.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 177 orang kurang upaya (OKU) di Johor telah ditempatkan bekerja di sektor awam dan swasta sehingga Oktober lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) memberi komitmen untuk membantu lebih ramai OKU mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, seramai 997 OKU yang telah berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) daripada tahun 2011 hingga Oktober lalu.

“Seramai 45 OKU di negeri ini juga telah menerima bantuan peralatan perniagaan dan berjaya menghasilkan pendapatan sendiri terutama perniagaan kecil sejak 2017.

“Dengan kepesatan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, YPKDT telah memperkenalkan inisiatif program menjana pendapatan sendiri kepada OKU.

“Antara inisiatif dan kursus yang dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran golongan OKU negeri ini ialah baik pulih komputer, gajet selain urutan dan spa,” katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Amira Aisya Abd Aziz (Muda-Puteri Wangsa) berhubung usaha memperkasakan golongan OKU negeri ini.

Khairin Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, meskipun berdepan wabak Covid-19, Program Latihan dan Promosi (PLP) bagi melatih golongan OKU tetap diteruskan.

“Program PLP itu diadakan dengan pelaksanaan Kursus Asas Kemahiran secara dalam talian membabitkan seramai 49 peserta.

“Untuk tahun ini pula, Program Bangkit OKU telah diperkenalkan di Johor. Seramai 85 OKU di negeri ini telah mengikuti kursus yang dijalankan,” katanya.