581 mangsa banjir di Pahang

in Edisi by

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa banjir dari Kampung Ulu Atok ke PPS di SK Ulu Atok, Raub pada Ahad. – Foto APM Pahang

KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 581 orang sehingga jam 4 petang berbanding 569 orang yang direkodkan jam 12 tengah hari pada Ahad.

Berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, semua mangsa terlibat ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas iaitu Temerloh, Jerantut, Lipis, Raub dan Bera.

Daerah Temerloh merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 382 mangsa melibatkan 115 keluarga yang kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan.

Di Lipis, seramai 83 mangsa daripada 27 keluarga berada di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit dan Masjid Kampung Beletik.

Sementara itu, di Jerantut dua PPS dibuka iaitu di balai raya Kampung Sempadan dan SK Batu Balai bagi menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga mangsa banjir di daerah itu.

Turut terjejas 29 mangsa daripada sembilan keluarga di Bera yang kini ditempatkan di PPS SK Sri Buntar dan SK Kerayong.

Sementara itu, empat PPS telah dibuka di Raub pada Ahad bagi menempatkan 48 mangsa daripada 12 keluarga iaitu di SK Ulu Atok, Masjid Kampung Kuala Semantan, Balai Raya Kampung Ria dan Kampung Sengkela.

Sementara itu, Sungai Triang di Triang, Bera masih berada pada paras bahaya, manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Jengka, Maran; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Luit Kampung Subuh, Maran dan Sungai Belat, Sri Damai,Kuantan berada pada paras amaran setakat jam 4 petang.