Canselor Jerman sasar hadkan pekerja bersara awal

in Global by

Olaf Scholz – Foto EPA

BERLIN – Kerajaan Jerman bercadang untuk mengehadkan bilangan pekerja yang bersara awal terutama membabitkan sektor buruh, kata Canselor Olaf Scholz.

“Jumlah pekerja yang boleh bekerja sehingga tempoh berpencen perlu ditingkatkan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kita perlu memperkasakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan sekolah sepanjang hari,” lapor Agensi Akhbar Jerman, dpa memetik canselor sebagai berkata dalam ucapannya, yang diterbitkan oleh kumpulan media Funke dan akhbar Perancis Ouest-France.

Pekerja di Jerman memilih bersara awal dan meninggalkan perkhidmatan buruh pada usia 63 atau 64, meskipun syarikat Jerman berdepan masalah kekurangan kemahiran, menurut institut penyelidikan populasi.

Umur persaraan dijangka ditingkatkan daripada 65 kepada 67 tahun menjelang 2031 secara beransur-ansur.

Scholz menggariskan rancangan kerajaan untuk mewujudkan peluang yang lebih baik bagi golongan muda dan melabur dalam pendidikan profesional.

Scholz berkata, Jerman juga memerlukan golongan migran dari negara lain untuk menjamin kemakmurannya.

Di kebanyakan negara, kewarganegaraan boleh didapati selepas lima tahun dan itu sepatutnya menjadi standard di Jerman “dan jika anda boleh berbahasa Jerman, mencari rezeki sendiri dan tidak melakukan sebarang jenayah,” kata Scholz.

Kerajaan telah memperbaharui peraturan mengenai imigresen dan kewarganegaraan bagi memudahkan proses berkenaan. – Bernama