Kane dihantui kegagalan penalti

in Sukan by

Kane kecewa gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan ketika England tewas 1-2 kepada Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar pada Ahad. – Foto EPA

KAPTEN England, Harry Kane terpaksa menerima hakikat kegagalan sepakan penaltinya menjadi punca The Three Lions tersingkir daripada Piala Dunia Qatar 2022.

Skuad bimbingan Gareth Southgate itu kalah 1-2 kepada juara bertahan, Perancis dalam aksi di Stadium Al Bayt pada Ahad.

Kane menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti pertama sekali gus menyamai rekod 53 gol buat England yang dipegang Wayne Rooney.

Dia berpeluang menjadikan kedudukan 2-2 selepas Mason Mount dikasari Theo Hernandez, namun kali ini sepakan penaltinya melepasi sasaran.

Pada aksi itu, Perancis membuka tirai jaringan menerusi Aurelien Tchouameni pada minit ke-17 dan kemudian Kane menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Olivier Giroud memastikan kemenangan milik Perancis setelah meledak gol kedua pada minit ke-78.

Sejurus wisel penamat, Kane terduduk dan memandang ke permukaan padang sebelum berjalan dengan tangisan lalu ditenangkan Southgate.

“Saya bukanlah orang yang banyak berfikir, persediaan tetap sama tak kisah saya dapat satu atau dua penalti dalam satu perlawanan.

“Saya tidak boleh salahkan persediaan sebelum perlawanan, ia tidak ada bezanya. Saya yakin untuk mengambilnya cuma ia tidak menjadi seperti diinginkan.

“Sudah tentu saya perlu terima kenyataan ini. Tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah bangga antara satu sama lain dan percaya pasukan ini berada pada te- mpat yang terbaik untuk masa depan,” katanya.

Kegagalan itu menyaksikan Kane mengikut jejak langkah beberapa pemain England yang pernah melalui situasi sama seperti Southgate, Chris Waddle dan Stuart Pearce walaupun insiden itu terjadi pada sepakan penentuan penalti dan bukan pada masa sebenar permainan.

“Seperti yang anda lihat, dia benar-benar kecewa tetapi tiada apa yang perlu dikecewakan olehnya.

“Kami berada pada kedudukan ketika ini juga adalah kerana kepimpinan dan jaringan yang dilakukannya,” kata Southgate.