Knoll 'troll' tarian merpati Brazil

in Sukan by

Ivana Knoll

PENYOKONG terhangat Piala Dunia 2022, Ivana Knoll telah ‘troll’ Brazil selepas pasukan kesayangannya, Croatia menewaskan gergasi pilihan tersebut menerusi sepakan penalti pada suku akhir di Stadium Education City.

Pasukan pilihan edisi Qatar 2022 itu tersingkir daripada temasya bola sepak dunia itu kepada lawan Eropah apabila seri 1-1 dengan Croatia selepas masa tambahan sebelum tewas dalam penentuan sepakan penalti 4-2.

Selepas gergasi Amerika Selatan itu terlepas sepakan terakhir, Ivana menyiarkan video mempersendakan sambutan gol tarian merpati skuad Samba sebelum ini.

Untuk rekod, para pemain Brazil melakukan tarian merpati semasa melakar kemenangan 4-1 ke atas Korea Selatan dalam pusingan 16 terbaik di Stadium 974 – Ras Abu Aboud pada 6 Disember lalu.

Pengendali Brazil Tite juga menyertai tarian itu apabila Richarlison berlari ke ruang pemain simpanan selepas menjaringkan gol ketiga skuad Samba.

Peminat nombor satu Croatia itu kemudiannya ketawa sambil meniru tarian burung merpati selepas kapten Brazil, Marquinhos terlepas sepakan penalti penentuan.

“Lakukan tarian merpati anda dalam perjalanan pulang ke rumah,” kata Knoll yang mengiringi video itu.

Knoll sebelum ini tidak asing dengan beberapa ‘troll’ – selepas menyindir Jepun apabila Samurai Biru dibelasah Croatia 1-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam pusingan 16 terbaik di Stadium Al Janoub.

Ivana menyiarkan klip dirinya sedang makan sushi di samping mesej: “Hanya sushi pada menu hari ini.”