Mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 529 orang

in Edisi by

Anggota APM memantau situasi semasa paras air di salah satu sungai di daerah Temerloh.Keadaan PPS di SMK Sri Semantan yang kini menempatkan 180 mangsa banjir di daerah Temerloh.

KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 529 orang sehingga jam 10 pagi, Ahad berbanding 435 orang yang direkodkan jam 8 malam pada Sabtu.

Berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terlibat ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas iaitu Temerloh, Jerantut, Lipis, Raub dan Bera.

Daerah Temerloh merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 180 mangsa melibatkan 113 keluarga yang kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan.

**media[2018339]**

Di Lipis, seramai 79 mangsa daripada 26 keluarga berada di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit (52 mangsa) dan Masjid Kampung Beletik (27 mangsa).

Sementara itu, di Jerantut, dua PPS dibuka iaitu di balai raya Kampung Sempadan dan SK Batu Balai bagi menempatkan 34 mangsa daripada 10 keluarga mangsa banjir di daerah itu.

Turut terjejas 25 mangsa daripada tujuh keluarga di Bera yang kini ditempatkan di PPS SK Sri Buntar, manakala satu PPS masih dibuka di Raub menempatkan 19 mangsa daripada empat keluarga.