Pasangan suami isteri kongsi pentas terima ijazah

in Edisi by

Seramai 1,601 orang termasuk graduan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung di UMT selama dua hari mulai Ahad.

KUALA NERUS – Berkongsi pentas yang sama pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi kenangan terindah buat pasangan suami isteri P Thuban dan M Hasivini selepas berjaya menamatkan pengajian bersama-sama.

Malah, pasangan suami isteri itu juga melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama iaitu Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Perniagaan di kampus cawangan UMT, Cyberjaya.

Thuban, 32, yang berasal dari Rawang, Selangor berkata, kesibukan kerja tidak menghalang mereka untuk terus menimba ilmu demi menjamin masa depan yang lebih baik dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar.

Katanya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh sepanjang tempoh dua tahun sebelum beliau yang bekerja sebagai kapten kapal, dan isteri mampu menikmati kejayaan hari ini.

“Boleh dikatakan 80 peratus proses pengajian saya berjalan secara dalam talian di atas kapal kerana jadual kerja saya tiga bulan di laut dan dua bulan di darat. Tambahan pula negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

“Malah ada peperiksaan yang berlangsung di atas kapal kerana pada masa itu saya terpaksa bertugas belayar di laut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di Dewan Sultan Mizan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, walaupun sebahagian besar masa pembelajarannya berlangsung di atas kapal, tidak timbul masalah besar kecuali liputan rangkaian Internet yang ada kalanya tidak menentu di tengah laut.

Sementara itu, Hasivini, 31, yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat perkapalan swasta di ibu negara berkata, antara cabaran yang dihadapi ialah terpaksa membahagikan tugas sebagai isteri, pekerja dan pelajar dengan bijak.

“Saya mula pengajian pada Oktober 2020 dan berkahwin dua bulan selepas itu. Memang satu cabaran besar untuk mengimbangi tiga tugas dalam satu masa, apatah lagi saya baru sahaja merasai alam berumah tangga,” katanya yang belum dikurniakan cahaya mata.

Seramai 1,601 orang termasuk graduan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari mulai Ahad.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Canselor UMT, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Pada majlis itu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan hadiah Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua graduan Ijazah Sarjana Muda iaitu Muhammad Syauqi Jafree dan Hoe Ling atas kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum. – Bernama