Pemenang Hadiah Nobel Muslim

in Khas by

Naguib Mahfouz, Abdul Razak Gurnah dan Orhan Pamuk.

DALAM kalangan pemenang Hadiah Nobel Sastera sejak 1901 dengan 119 pemenangnya, hanya terdapat tiga orang sasterawan Muslim. Mereka adalah Naguib Mahfouz, Orhan Pamuk dan Abd Razak Gurnah.

Naguib Mahfouz memenanginya pada tahun 1988, yang telah menghasilkan 34 buah novel, 350 cerpen dan 5 buah drama.

Sejak usia muda lagi Naguib Mahfouz berkarya dengan karya sejarah, kemudian menulis teks beraliran realisme.

Dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 1911 dan meninggal pada tahun 2006 ketika berusia 94 tahun. Beliau mula menulis rencana, diikuti dengan cerpen pada 1930-an, mengambil latar bandar Kaherah yang banyak menyimpan peristiwa, termasuk kisah Firaun dengan piramid itu.

Berfahaman moden dan dia tidak sejalan dengan gerakan-gerakan Islam tradisional, seperti yang dibawa oleh Syed Qutub.

Beliau banyak menghasilkan artikel, iaitu selepas bergraduan dan bekerja sebagai wartawan di syarikat akhbar al-Risalah.

Tulisannya tentang sastera, sains dan sosialisme, sangat digemari waktu itu. Namanya dipuja sebagai penulis artikel yang tajam, radikal, kritis dan sinikal. Kemudian baru dia menulis cerpen, dengan mengisikan pemikirannya yang selari dengan artikelnya itu.

Dengan cepat cerpennya menjadi popular dan ditunggu-tunggu siarannya. Dengan latar dan ideologi sedemikian, dapat dibayangkan idealisme kepengarangan Naguib Mahfouz.

Beliau mula menulis novel awal 1940-an dengan cerita-cerita sejarah dan bealiran romantisisme.

Sepuluh tahun kemudian, dia mendapat ilmu tentang aliran realisme dan pada 1950-an mula menghasilkan novel realistik.

Kehidupan seharian masyarakat Mesir yang bergolak dengan politik, kemelesetan ekonomi dan permusuhan dengan Israel, menjadikan karyanya berbicara tentang subjek induk negara.

Keberterusan dengan ideologi penulisannya itu dan selari dengan hasrat khalayak, untuk mendapatkan resolusi yang menyelesaikan permasalahan; cerpen dan novelnya sering menjadi bacaan dan rujukan.

Dengan aliran realisme Naguib Mahfouz membina ideologi kepengarangannya dan menggilap subjektiviti pengkaryaannya.

Antara karyanya ialah Zuqaq al-Midad, Jalan Midad (1947), Bidaya wa Nihaya, Permulaan dan Pengakhiran (1949) dan Baina al-Qasrain, Di antara Dua Istana (1956).

Karya realistik yang sarat dengan deskripsi rinci masyarakatnya, yang tidak mampu keluar daripada jeratan nasib buruk dan menghimpunkan segala warna-warni kehidupan, menjadi dokumentasi budaya Mesir yang berharga.

Kemuncak kepada konsistensi akur kepada resepsi masyarakatnya, kerajaan Mesir telah menganugerahkan Anugerah Kebangsaan Persuratan (1970) sebagai lambang kejayaannya. Anugerah ini selari dengan Anugerah Sastera Negara.

Sejak itu banyak karyanya telah diterjemahkan kepada bahasa Inggeris dan Perancis. Masyarakat antarabangsa sangat mengaguminya. Situasi begini membawa namanya dicalonkan untuk mendapat Hadiah Nobel Sastera pada tahun 1988, sebagai penerima Muslim pertama.

Tamadun

Muslim kedua mendapat anugerah tertinggi sastera itu ialah Orhan Pamuk dari Turkiye. Beliau dilahirkan pada1952 di Istanbul, di tengah-tengah suasana budaya Turkiye yang Islamik dan tradisional, dirempuh dan terdesak dengan dominasi tamadun Barat.

Terkepit di tengah kedua-dua tamadun itu, memunculkan golongan proletar kota, pengosongan wilayah desa dan terjadinya goncangan politik. Turkiye hampir-hampir kehilangan harga diri dan jati diri akibat serangan Barat itu.

Orhan Pamuk menyisir segala peristiwa itu ke dalam teksnya. Gaya dan strategi karyanya sangat disenangi oleh masyarakat Turkiye dan Barat.

Novelnya berlapis-lapis, polimakna dan penuh dengan pertandaan. Para pengkritik juga gemar melakukan kritikan terhadap novelnya dan menjadi jambatan kepada khalayak Turkiye yang sangat menyanjung karya pascamoden yang berstruktur baharu dan membawa makna baharu itu.

Pada mulanya juga banyak menulis rencana dan esei sastera, kemudian pada tahun 1974 mula menghasilkan novel Karanlık ve Isık, Gelap dan Terang.

Pada tahun 1982, beliau menghasilkan Cevdet Bey ve Ogullari, Tuan Cevdet dan anak-anaknya, mula menunjukkan kemahirannya dalam menulis novel, yang mencitrakan tiga generasi sebuah keluarga, beliau memenangi Hadiah Novel Orhan Kemal.

Pada tahun 1985, beliau menulis karya sejarah Beyaz Kale, Istana Putih, tentang pensejarahan golongan aristokrat Turkiye.

Dalam novelnya Istanbul (2003), mencungkil peradaban Turkiye dan menggambarkan keindahan keseniannya, sehingga dapat menawan khalayak antarabangsa, membuat orang suka melancong ke Istanbul.

Kekuatan novel Orhan Pamuk ialah pada pencitraan dan naratif pascamodenisme, dianugerahi Hadiah Nobel Sastera pada tahun 2006.

Abd Razak Gurnah berzuriat Arab Zanzibar pula lahir pada 1948 mendapat pendidikan sastera Arab, fasih dengan syair dan prosa Islam klasik.

Pada tahun 1969 mula menulis cerpen, yang mencitrakan pengalamannya sebagai migrasi ke London. Dia mempelajari sastera pascamoden dan teori sastera pascakolonialisme.

Karyanya baik cerpen dan kritikan digabungkan dengan catatan tentang kepahitan hidup di negaranya dan tekanan sebagai pelarian yang dianggap rendah dan suaka, semuanya dihadirkannya dalam novel pertamanya Memory of Departure (1987).

Pemikiran itu diteruskannya dalam Pilgrims Way (1988), protagonis Daud yang meninggalkan Tanzania berpindah ke England. Di negara baharu itu, kehidupan berbeza, rasa tersingkir dan kesukaran, justeru kesan kolonialisme itu menghantui perjalanan hidupnya. Ini digambarkan dalam novel berikutnya Dottie (1990).

Subjek migrasi dari Afrika dan menghadapi kehidupan pengkelana di negara baharu dengan pertentangan antara kolonialisme dan pasca kolonialisme menjadi subjek individual bernama Abd Razah Gurnah.

Melalui teks ke teks yang seterusnya, dia melakukan pengejapan dan pengukuhan subjek individual terutamanya dalam Paradise (1994). Kekuatannya ialah pada pencitraan novel pasca kolonialisme dan menerima Anugerah Nobel Sastera 2021.

Rasanya ada di antara pengarang kita, yang sudah mencapai taraf penganugerahan sastera dunia itu, seperti A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan.

Tuntutannya ialah karya mereka harus dipasarkan ke seluruh dunia, terutamanya di Barat. Penterjemahan menjadi syarat utama, sambil mendapat kritikan yang positif daripada pengkritik tanah air.

Marilah kita berusaha ke arah itu, agar satu masa nanti ada sasterawan kita dianugerahi Hadiah Nobel Sastera, yang paling berprestij di dunia itu.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia