Regragui buktikan Maghribi boleh berjaya di Qatar

in Sukan by

Regragui anggap Maghribi Rocky Balboa di Piala Dunia Qatar 2022. – Foto EPA

SKUAD Maghribi membuktikan bahawa tanpa pemain ternama dan banyak bakat Atlans Lions boleh berjaya di Piala Dunia Qatar 2022.

Berbekalkan keinginan, hati dan kepercayaan Maghribi berjaya mencapai kejayaan sehingga mara ke separuh akhir selepas menundukkan Portugal 1-0 pada Ahad.

Jurulatihnya Walid Regragui menganggap pasukannya adalah ‘Rocky Balboa’ kerana kesungguhan yang ditunjukkannya sehingga membawa kepada kejayaan.

“Apabila anda menonton Rocky anda mahu menyokong Rocky Balboa kerana kerja keras dan komitmennya. Saya rasa kami Rocky Balboa di Piala Dunia ini,” katanya.

Skuad dari Afrika Utara yang dilanda kecederaan itu terpaksa mengamalkan corak permainan bertahan untuk mencatatkan kemenangan 1-0 di Stadium Al Thumama.

Mereka akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Perancis di separuh akhir selepas Youssef En-Nesyri menanduk masuk gol sebelum babak pertama tamat.

Kemenangan ke atas Portugal hadir selepas mereka menundukkan Sepanyol dalam pusingan 16 terakhir menerusi sepakan penalti dan menewaskan pasukan ranking kedua dunia Belgium di peringkat kumpulan.

“Maghribi akan menjadi pasukan yang semua orang suka pada Piala Dunia ini kerana kami menunjukkan bahawa walaupun anda tidak mempunyai banyak bakat, jika ada menunjukkan keinginan, hati dan kepercayaan itu anda boleh mencapainya.

“Saya pasti ramai di antara anda akan mengatakan ini satu keajaiban tetapi kami menang tanpa bolos menentang Belgium, Sepanyol serta Portugal dan ia adalah hasil kerja keras,” ujar Regragui

Perancis mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan England 2-1 di Stadium Al Bayt dan Maghribi berpeluang menjadi negara pertama dari luar Eropah atau Amerika Selatan mara ke final.

“Kami boleh bermimpi kenapa kita tidak boleh bermimpi memenangi Piala Dunia?

“Ia tidak memerlukan apa-apa untuk sebuah impian. Negara Eropah sudah biasa memenangi Piala Dunia.

“Kami sudah bermain menentang beberapa pasukan hebat dunia tapi setakat ini kami tidak mencapai apa-apa,” ujar Regragui.

Beliau mula melatih Maghribi Ogos lalu.

Maghribi sudah melangkaui jangkaan dengan menjadi negara Afrika keempat dan negara Arab pertama mara ke suku akhir.