Sultan Ibrahim nasihat empat menteri bantu Johor

in Edisi Johor by

Sultan Ibrahim menerima menghadap Salahuddin di Johor Bahru pada Ahad. – Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.Salahuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas Sidang DUN Johor pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihatkan empat menteri dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan dari negeri ini membantu meningkatkan ekonomi dan sosiopolitik Johor.

Titah Sultan Ibrahim itu disampaikan sewaktu pertemuan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika sidang akhbar selepas sesi penggulungan Sidang DUN Johor di sini pada Ahad.

Menurut Salahuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, pertemuan secara santai bersama Sultan Ibrahim memberi fokus kepada isu rakyat.

“Baginda bertitah bahawa isu ekonomi serta sosiopolitik amat penting buat Johor dan empat menteri kabinet diharap dapat terus membantu rakyat negeri ini.

“Saya tidak menyangka pertemuan satu jam itu begitu santai, namun Sultan Ibrahim sangat fokus dan serius membincang isu rakyat,” katanya.

**media[2018886]**

Sebelum itu pada pagi Ahad, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram di Johor Bahru.

Pertemuan itu merupakan kunjung hormat Salahuddin yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Menteri KPDN.

Di Johor, terdapat empat ahli Parlimen dilantik sebagai menteri iaitu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang); Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Norden (BN- Kota Tinggi); Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman ( BN- Pengerang).