Teliti laporan penuh kemalangan libat Bas Smart Selangor

in Edisi by

Bas Smart Selangor dipercayai terbabas di Jalan Kuala Selangor Batu 16, Sungai Pelong pada Sabtu. Kenyataan Sze Han pada Ahad (gambar kanan).

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan meneliti laporan penuh kemalangan membabitkan Bas Smart Selangor di Jalan Kuala Selangor Batu 16 Sungai Pelong yang menyebabkan tujuh penumpang cedera.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, ia bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan awam di negeri itu lebih terjamin.

“Sebuah Bas Smart Selangor yang beroperasi di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengalami kemalangan jalan raya pada Sabtu, kira-kira jam 8.45 malam.

“Kerajaan negeri Selangor amat menitikberatkan keselamatan pengguna pengangkutan awam khususnya Bas Smart Selangor.

“Penelitian lanjut terhadap kes ini akan dilakukan selepas laporan penuh kejadian diterima,” kata Sze Han dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, penumpang tercedera termasuk dua kanak-kanak terbabit turut dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan susulan pada malam kejadian.

“Kerajaan negeri berharap agar semua mangsa dapat pulih dengan segera,” katanya lagi dalam kenyataan sama.

Pada Sabtu, Bas Smart Selangor itu dipercayai terbabas dan nyaris terjunam ke sungai di Jalan Kuala Selangor Batu 16, Sungai Pelong.