Wanita hampir buta gara-gara tatu mata

in Global by

Keadaan mata Anaya yang bengkak (gambar kanan) pada Julai 2020. – Agensi

BELFAST – Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Apatah lagi apabila nasi sudah menjadi bubur.

Itulah dua peribahasa yang tepat bagi menggambarkan situasi seorang wanita di Ireland Utara yang berpotensi menjadi buta gara-gara tindakannya membuat tatu pada bahagian mata kanannya.

Anaya Peterson, ibu muda berusia 32 tahun dari Belfast mengalami kerosakan pada bahagian mata kanan selepas memutuskan untuk mewarnakan sklera (bahagian putih mata) pada Julai 2020.

Selepas prosedur menukar warna sklera mata kanannya kepada hijau, Anaya mengalami mata kering dan pening kepala yang kerap.

Sehinggalah pada Ogos tahun lalu, mata kanannya mengalami bengkak luar biasa selain hilang penglihatan selama tiga minggu.

“Mata saya bengkak seperti baru ditumbuk Mike Tyson. Saya sedar ini satu kesilapan yang besar.

“Alangkah baiknya jika saya ikut dan hadam nasihat anak sulung berusia tujuh tahun yang melarang tindakan ini, ujarnya.

Tambah Anaya, biar pun keadaannya kini beransur pulih, namun dia berpotensi untuk buta sebelah mata buat selama-lamanya jika mengabaikan rawatan dan pengambilan ubat.

Anaya turut berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada orang lain yang menyimpan hasrat untuk membuat tatu di mata.

Sebelum ini, Anaya telah menjalani beberapa prosedur pengubahsuaian tubuh antaranya mewarnakan sklera mata kiri, mencacah tatu pada badan selain membelah lidah untuk kelihatan seperti haiwan reptilia. – Agensi