Zahid sangkal dakwaan Bersatu berjaya gantikan UMNO

in Politik by

Ahmad Zahid – Foto Bernama

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaaan berhubung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menggantikan partinya susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, beliau berkata, Bersatu dilihat masih belum dapat mencapai matlamat sebenar untuk ‘membunuh’ UMNO daripada politik negara.

“Saya telah beritahu dari awal-awal bahawa matlamat penubuhan Bersatu itu jelas secara tersurat dan tersirat untuk membunuh UMNO.

“Jelas bahawa dalam PRU15 lalu matlamat ini sebenarnya jauh daripada sasaran mereka,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) di sini pada Ahad.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Sabtu berkata, sebahagian matlamat dan objektif penubuhan Bersatu untuk menggantikan UMNO telah dicapai selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada PRU15 lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid mendedahkan, cubaan untuk mengharamkan UMNO pernah berlaku, namun digagalkan oleh seseorang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu berkenaan dan waktu usaha tersebut dijalankan.

“Kita tahu bahawa matlamat mereka lebih jauh dari itu. Sebenarnya apabila buat pertama kalinya ketika seseorang menjadi Menteri Dalam Negeri yang di atas mejanya telah ada surat untuk mengharamkan dan membatalkan UMNO.

“Namun kita telah mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah dapat membatalkan hasrat itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri meminta keseluruhan ahli akar umbi UMNO agar menolak tujuan halus dibawa oleh Bersatu terhadap parti itu.