Ahli Parlimen diberi pilihan tidak pakai tali leher esok

in Nasional by

Johari pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang hadir pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat esok, dikecualikan daripada memakai tali leher.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyatakan perkara itu sebelum menangguhkan persidangan hari ini hingga 10 pagi esok.

“Cuma satu peringatan dan permintaan, ada cadangan untuk esok, mereka yang nak pakai sut saya kecualikan daripada memakai tali leher. Jadi boleh datang dengan baju Melayu ataupun dengan sut tetapi tanpa tali leher, ia adalah pilihan,” katanya di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut sama ada perkara itu dibolehkan sepanjang persidangan Dewan Rakyat atau hanya dibolehkan untuk esok sahaja.

Mengikut Panduan Pakaian Di Dalam Dewan Persidangan dalam portal Parlimen.gov.my, individu lelaki yang memasuki Parlimen perlu mengenakan kot, kemeja lengan panjang, bertali leher dengan digalakkan berwarna gelap.

Mereka juga boleh memakai pakaian kebangsaan atau tradisional yang lengkap dengan kasut kulit bertutup atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya dan berwarna gelap serta berstoking. – Bernama