Dua sungai di Johor pada paras amaran

in Edisi by

Sungai Muar di Buloh Kasap Segamat.

JOHOR BAHRU – Dua sungai di negeri ini, Sungai Muar dan Sungai Lenik di Segamat berada pada tahap jingga atau amaran setakat jam 11.15 pagi pada Isnin.

Sungai Muar yang terletak di Buloh Kasap, merekodkan paras 8.86 meter berbanding paras normal 7.3 meter manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah pula merekodkan paras 5.77 meter berbanding paras normal 4.1 meter.

Selain itu, paras air di dua buah sungai di Batu Pahat dan Pontian pula melebihi paras waspada atau kuning.

Sungai Sembrong di Empangan Sembrong Batu Pahat merekodkan paras 10.06 meter dan Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun Pontian merekodkan paras 4.77 meter.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, semua anggota agensi berkenaan di tiga daerah terbabit diletak dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bacaan paras sungai di kawasan itu berada pada tahap jingga dan kuning.

“APM terutama di peringkat daerah sentiasa memantau paras aras sungai sekiranya menunjukkan peningkatan.

“Jika paras air sungai di dalam keadaan bahaya atau telah menunjukkan limpahan ke kawasan penduduk, kerja-kerja pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan dilakukan.

“Perpindahan penduduk juga mengambil beberapa faktor di mana Pegawai Daerah akan menganalisis keperluan perpindahan termasuk cuaca buruk berlaku, air pasang surut serta peningkatan paras air sungai yang signifikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Setakat jam 12 tengah hari pada Isnin, seramai 75 mangsa daripada 21 keluarga di Segamat masih berlindung di tiga buah PPS yang dibuka sejak 11 Disember lalu susulan banjir yang berlaku.

Tiga PPS tersebut ialah Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.