Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen PN bermain politik jelek

in Politik by

Shamsul Iskandar Mohd Akin

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa mengeluarkan kenyataan jelek dan jijik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berlangsung sidang pembukaan Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, lebih memualkan naratif songsang yang dibawa oleh Ketua Pembangkang turut dilantuni oleh Ahli-ahli Parlimen PN tanpa menggunakan akal waras dan memainkan isu peribadi yang telah selesai.

Tambah Shamsul Iskandar, beliau bingung memikirkan seorang Ketua Pembangkang begitu terdesak memetik berita pojok yang tentunya sengaja diterbitkan demi mencari publisiti murahan.

“Saya bingung memikirkan perkara tersebut sedangkan beratus pujian serta penghargaan yang dikeluarkan oleh ketua negara dan media utama tempatan serta antarabangsa.

“Isu peribadi Perdana Menteri telah selesai apabila Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V berkenan mengampunkan Anwar dengan pengampunan Di Raja dan bermaksud segala rekod kesalahan beliau dihapuskan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 24 November 2022, sebaik saja Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, sebuah agensi berita dari Itali Agenzia Nova menerbitkan artikel yang bertajuk ‘First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country’.

Shamsul Iskandar mendakwa pertikaian yang dibangkitkan itu adalah cubaan halus PN mencabar kuasa mutlak Institusi Raja.

“Cukup-cukuplah bermain politik usang, ini masa untuk negara bergerak ke hadapan dan lebih baik kita merangkul segenap kekuatan memperkasakan rakyat mendepani cabaran krisis ekonomi tahun 2023 yang bakal menjelang tiba.

“Saya turut berasa aneh bagaimana seorang Ketua Pembangkang yang sepatutnya mempunyai pengalaman luas di dalam Parlimen boleh mengesampingkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 23 (1)(i), yang jelas menghalang sesuatu pertanyaan dikeluarkan hanya dengan bergantung kepada penerangan-penerangan dalam surat khabar,” jelasnya.