Lebih 1,000 pengguna laluan Kuala Krai-Gua Musang terjejas

in Edisi Kelantan by

Keadaan Laluan utama Kuala Krai-Gua Musang dilimpahi Sungai Durian di Kuala Krai pada Isnin.Pengguna terpaksa memakir kenderaan mereka susulan laluan dilimpahi air sungai di laluan utama Kuala Krai-Gua Musang di Kampung Sungai Durian pada Isnin.

KUALA KRAI – Lebih 1,000 pengguna terjejas apabila laluan utama Kuala Krai-Gua Musang di Kampung Sungai Durian dinaiki air sehingga 0.5 meter akibat limpahan sungai itu pada Isnin.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, limpahan air bermula jam 1 tengah hari menyebabkan kenderaan ringan dimasuki air dan terpaksa ditunda.

Seorang juruwang kedai serbaneka, Azlin Rosli, 24, berkata, dia tidak dapat keluar ke tempat kerja dari rumahnya sejauh lapan kilometer (km) di Bukit Sireh ke Guchil.

“Saya sepatutnya masuk kerja jam 9.45 pagi tadi tetapi tersekat banjir di Jalan Bukit Sireh dan jalan utama ini.

“Saya tidak berani nak redah air bimbang terkandas dalam banjir,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Seorang lagi pengguna, Nasrul Yusof, 36, berkata, dia terpaksa meletakkan motosikalnya di tepi jalan dan menahan kenderaan pacuan empat roda (4X4) untuk menumpang melalui kawasan itu.

“Saya hendak ke rumah kakak di Bukit Sireh untuk membantunya mengemas barangan kerana banjir.

**media[2027885]**

“Jalan ini tidak pernah dinaiki air kecuali ketika bencana pada tahun 2014. Kali ini, air melimpah hingga ke jalan sepanjang 400 meter (m),” jelasnya.

Sementara itu, seorang doktor yang berasal dari Sarawak, turut berkongsi perasaan cemas pengalaman pertama berdepan situasi banjir di negeri ini.

“Saya baharu enam bulan berpindah dan bertugas di Hospital Kuala Krai.

“Agak takut bila lihat air naik mendadak dan terpaksa menunggu kawan yang menaiki 4X4 untuk mengambil saya bagi menyeberangi laluan ini,” ujarnya.