Mahkamah Tinggi tolak permohonan bekas duta, anak

in Berita Semasa by

Zainal Abidin dan Rizal (kanan) dibawa keluar selepas keputusan dibuat mahkamah.

TEMERLOH – Mahkamah Tinggi Temerloh di sini pada Isnin menolak permohonan bekas duta dan anaknya yang menghadapi pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis ganja, untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Noor membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan pihak pendakwaan yang diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Abdul Latif.

Roslan menetapkan keputusan tersebut sehingga tarikh perbicaraan kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Ujar Roslan, di bawah seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh yang dituduh di bawah seksyen 39B akta sama tidak boleh dijamin dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78 dan anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki dan menanam tumbuhan jenis ganja sejumlah 102 batang pokok.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 5718, Jalan Sum Sum Hilir di Janda Baik, Bentong pada kira-kira jam 6.10 petang pada 21 Mei 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan hendaklah dikenakan sekatan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 989.6 gram di lokasi dan waktu sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua dituduh didakwa memiliki Delta-9-Tetrahydrocannabinol (minyak ganja) seberat 58 mililiter.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 9 (1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu, pihaknya akan menasihatkan kedua-dua tertuduh untuk membuat rayuan.